Sila klik2 kat iklan nuffnang neh...tqvm

Friday, February 4, 2011

Khadijah Srikandi Kesayangan Rasulullah

Khadijah Srikandi Kesayangan Rasulullah



Kepulangan suaminya dari Gua Hira' selepas menerima wahyu pertama, telah menimbulkan tanda tanya di hati Siti Khadijah r.a.. Segala yang diceritakan oleh suaminya mengenai pengalaman didatangi Malaikat Jibril, adalah [B]rahsia besar yang tidak boleh diceritakan[/B] kepada orang lain. Sikap Khadijah ini memberi input yang baik kepada muslimat terutama yang bergelar isteri. Kadangkala kita dapati isteri-isteri tidak menjaga akhlak mereka dengan [B]sibuk menceritakan hal keluarga[/B] termasuk bersifat peribadi dan rahsia.

Siti Khadijah [B]meminta izin kepada suaminya[/B] untuk mengajukan persoalan kepada sepupunya iaitu Warkah bin Naufal. Orang yang dipilih oleh Siti Khadijah bukanlah sebarangan orang, Warkah seorang yang alim dan berpegang pada ajaran tauhid. Pengajaran di sini dalam menceritakan masalah atau mengajukan permasalahan kita untuk diselesaikan adalah dengan memilih orang yang sesuai. Kadangkala wanita menceritakan masalah mereka bukan untuk mengurang atau mencari penyelsaian terbaik, tetapi sekadar untuk melepaskan geram. Akibatnya, suami kadangkala tahu keburukannya diceritakan oleh sang isteri kepada orang lain (disampaikan). Ini boleh [B]memburukkan lagi keadaan antara suami isteri[/B] yang bermasalah tadi.

Khadijah dilihat sebagai seorang muslimah yang bijaksana dengan menceritakan peristiwa Nabi bersama Jibrail [B]hanya kepada orang yang layak[/B] dan bukan sebarangan orang. Antara sifat atau akhlak terpuji yang dapat diikuti oleh muslimat dari Siti Khadijah adalah:

  1. Bersifat tenang dan boleh menenangkan orang lain.
  2. Tidak terburu-buru dan panik.
  3. Tidak mudah mempercayai orang lain dalam menceritakan hal yang bersifat rahsia.
  4. Pandai memilih orang untuk diadu permasalahan.
  5. Bersifat amanah,lembut dan berhikmah.
  6. Meminta kebenaran dari suami hatta untuk perkara kebaikan.
  7. Sabar dalam menghadapi permasalahan suami.

[B]Menjejaki Jejak  Khadijah[/B]

Tatkala Nabi SAW mengalami rintangan dan gangguan daripada kaum lelaki Quraisy, maka di sampingnya berdiri dua orang wanita, iaitu Khadijah bin Khuwailid dan Fatimah binti Asad. Kedua wanita itu [B]berdiri di belakang dakwah Islamiah[/B], mendukung dan bekerja keras dalam menyampaikan Islam. Oleh disebabkan itu, Khadijah berhak menjadi wanita terbaik di dunia. Dia adalah [I]Ummul Mukminin[/I], sebaik-baik isteri dan teladan yang baik bagi mereka yang mengikuti teladannya.

Khadijah menyiapkan sebuah rumah yang nyaman bagi Nabi SAW sebelum beliau diangkat menjadi Nabi dan membantunya ketika merenung di Gua Hira'. Khadijah adalah [B]wanita pertama yang beriman[/B] kepadanya ketika Nabi SAW berdoa (memohon) kepada Allah. Khadijah adalah sebaik-baik wanita yang menolong dengan jiwa, harta dan keluarga.

[B]Peri hidupnya harum[/B], kehidupannya penuh dengan kebajikan dan jiwanya sarat dengan kebaikan.

Rasulullah SAW bersabda, "Khadijah beriman kepadaku ketika orang-orang ingkar, dia membenarkan aku ketika orang-orang mendustakan dan dia menolongku dengan hartanya ketika orang lain tidak memberiku apa-apa."

Kenapa kita bersusah payah mencari teladan di sana-sini, walhal di hadapan kita ada wanita terbaik di dunia, Khadijah binti Khuwailid, [I]Ummul Mukminin[/I] yang setia dan taat, yang bergaul secara baik dengan suami dan membantunya di waktu berkhalwat sebelum diangkat menjadi Nabi dan meneguhkan pendiriannya serta membenarkannya. Khadijah [B]mendahului semua orang dalam beriman kepada Allah[/B], dan membantu baginda serta kaum Muslimin dengan jiwa, harta dan keluarga.

Maka Allah SWT membalas jasanya terhadap agama dan nabi-Nya dengan sebaik-baik balasan dan memberinya kesenangan dan kenikmatan di dalam istananya, sebagaimana yang diceritakan Nabi SAW, kepadanya pada masa hidupnya.

Ketika Jibril A.S. datang kepada Nabi SAW, dia berkata : "Wahai Rasulullah, inilah Khadijah telah datang membawa sebuah wadah berisi kuah dan makanan atau minuman. Apabila dia datang kepadamu, sampaikan salam kepadanya daripada Allah dan aku, dan beritahukan kepadanya tentang sebuah rumah di syurga dari mutiara yang  tidak ada kepayahan.

[I](Hadis riwayat Bukhari dalam Fadhaail Ashhaabin Nabi SAW. Imam Adz-Dzahabi berkata, "Keshahihannya telah disepakati.")[/I]

Khadijah r.a. membawa panji bersama Rasulullah SAW sejak saat pertama, berjihad dan bekerja keras. Dia menghabiskan kekayaannya dan memusuhi kaumnya. Dia [B]berdiri di belakang  suami [/B]dan nabinya hingga nafas terakhir, dan patut menjadi [B]teladan tertinggi bagi para wanita[/B].

Sesungguhnya ia adalah kedudukan yang tidak diperoleh seorang pun di antara para sahabat yang terdahulu dan pertama masuk Islam serta [I]Khulafa' Rasyidin[/I]. Hal itu disebabkan sikap Khadijah r.a. pada saat  pertama lebih agung dan lebih besar daripada semua sikap yang mendukung dakwah selepas itu. Sesungguhnya Khadijah r.a. merupakan [B]nikmat Allah[/B]
[B]yang besar[/B] bagi Rasulullah SAW. Khadijah mendampingi Nabi SAW selama  seperempat abad, berbuat baik kepadanya di saat beliau gelisah, menolongnya di waktu yang susah, membantunya dalam menyampaikan al-Quran, ikut serta merasakan penderitaan yang pahit pada saat jihad dan menolongnya [B]dengan jiwa dan hartanya[/B].

Rasulullah SAW bersabda, "Khadijah beriman kepadaku ketika orang-orang mengingkari. Dia membenarkan aku ketika orang-orang mendustakan. Dan dia memberikan hartanya kepadaku ketika orang-orang tidak memberiku apa-apa. Allah mengurniai aku anak darinya dan mengharamkan bagiku anak dari selain dia."

[I](Hadis riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya, 6/118.)[/I]

Sehingga di akhir hayatnya apabila baginda bertanya, "Apakah harta yang masih ada pada dirimu wahai isteriku untuk perjuangan Islam ini?" Khadijah berkata, "Tiada apa-apa lagi, [B]jika tubuhku dan tulang-tulangku boleh dimanfaatkan untuk perjuangan Islam gunakanlah[/B]." [I]Subhanallah[/I]... sungguh hebat perjuangan para sahabat baginda dan [I]Ummul Mukminin[/I] untuk memperjuangankan  Islam. [B]Adakah kita sanggup berkorban seperti mereka pada masa kini?[/B] Renung-renungkan...

Kisah Air Mata

Kisah Air Mata


Dingin subuh seakan-akan menggigit hingga ke tulang rusukku, namun kugagahi kakiku untuk melangkah ke surau. Surau An-Nur destinasi wajibku di setiap pagi. Aku gemar ke sana. Aku tenang di sana.

Sebelum azan subuh mula berkumandang, telingaku seakan-akan dibisik oleh suara halus yang menyeru aku untuk bangkit meninggalkan selimut tebal dan bangkit untuk mandi dan bergerak ke surau. Sampai di sana, kulihat hanya beberapa kerat sahaja pelajar yang ada. Biasanya tidak lebih dari 10 orang.

Tanpa berlengah, sejadah dihampar di suatu sudut, kaki didekatkan, lalu tangan diangkat ke telinga dan dengan penuh kehambaan aku menyeru, "Allahuakbar." Selesai dua rakaat solat tahajjud diikuti dua rakaat solat taubat. Tangannku menyapu raut wajahku dari dahi hingga ke dagu. Hatiku berasa tenang dan nyaman. Kurasakan wajahku segar dan bercahaya. "Alhamdullilah," bisikku.

Dengan penuh kehambaan aku mengangkat tangan memohon doa dan keampunan dari Yang Maha Esa.

[I]"Alhamdulillahirabbilalamin. Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Ya Allah ,ya tuhanku, aku hambamu yang banyak berdosa ya Allah. Dosa-dosaku bagaikan buih-buih di lautan. Dosa-dosaku ibarat debu yang bergelimpangan di padang pasir. Ya Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Aku bersujud padaMu. Aku memohon keampunan dariMu atas segala dosa-dosa yang telah aku lakukan. Yang nyata mahupun tersembunyi. Yang aku sedar mahupun aku tidak sedar. Aku sedar aku tidak layak ke syurgaMu Ya Allah. Namun, tidak pula aku sanggup ke nerakaMu. Ampunkah hambaMu yang hina ini, terimalah taubat ku ini. Amin Ya Rabbalalamin".[/I]

Tanpa aku sedari, air mata bercucuran jatuh ke pipiku. Usai berdoa, kurasakan hatiku sangat bersih. Sangat tenang.

Tapi itu kisah lama. Kisah zaman sekolah. Kisah zaman hingusan. Di sana aku ada kawan di Maahad. Di sana aku ada naqib. Di sana aku ada ustaz. Di sana aku ada ibu bapa! Kini aku di universiti. Di universiti yang jauh dari tempat asalku. Dengan rezeki Allah aku di tawarkan belajar di luar negara. Negara idaman aku. Kini aku di United Kingdom. University of Manchester.Alhamdulillah cita-cita dan doaku dimakbulkan Tuhan Yang Esa.

Aku manusia biasa. Aku bukan malaikat. Manusia itu sering lupa dan lalai kan? Kini sudah 4 tahun aku di sini. Pengajianku biasa saja walaupun tidak cemerlang. Aku bahagia di sini. Aku ada ramai teman. Aku ada ramai sahabat. Tapi adakah aku tenang di sini? Hari-hariku bukan lagi di isi dengan bacaan Al-quran. Solatku kini bukan lagi diimamkan. Hatiku tidak lagi dijamu dengan tazkirah dan ceramah.Aku lalai di sini.

Tapi aku bukan manusia jahat. Tidak pernah sesekali kuteguk minuman syaitan sepanjang di sini. Tidak pernah ku menjejakkan kakiku ke tempat maksiat. Tidak pernah ku menyentuh yang bukan muhrim untukku. Aku hanya manusia biasa. Aku menunaikan sembahyang. Aku berpuasa di bulan Ramadan. Aku manusia biasa!

Pada suatu subuh,seperti biasa aku bangkit untuk solat subuh. Kali ini kurasakan angin luar tidak terlalu sejuk dan tidak juga panas. Suasana sangat tenang dan segar. Lain dari kebiasaan subuh yang aku lalui. Setelah selesai solat subuh, aku mengangkat tangan untuk berdoa. Aku berdoa mohon keampunan. Doa yang sama aku ulang semenjak di asrama dulu lagi. Tapi kali ini aku tidak merasai kemanisan doa itu. Tidak ku rasa penghayatan doa itu. Dan paling ku takut, aku tidak menangis. Penat ku cuba untuk mengalirkan air mata di hadapan Yang Maha Besar tapi aku gagal. Aku gagal. Aku gagal menangis!

Ini bukan kali pertama. Semenjak beberapa bulan ini doaku tidak lagi di selangi air mata. Hatiku tidak dapat merasai kenikmatan doa. Aku jadi takut. Pelbagai perkara bermain di fikiranku. "Ya Allah gelapnya hati hambaMu ini". Terus ku teringat kata-kata ustazku ketika di sekolah dulu. "[B]Hati manusia ibarat besi[/B]. Setiap dosa yang dilakukan akan melekatlah karat padanya. Tapi karat itu boleh di cuci dengan solat dan doa. Namun lama kelamaan jika karat itu tidak dibersihkan, akan semakin besarlah ia, dan semakin sukarlah untuk dibersihkan . Maka semakin hitam dan gelaplah hati kita. Ketika ini setiap dosa yang dilakukan tiada lagi dirasakan dosa bagi dirinya".

Aku tersedar. Aku tersentap. Kenapa aku mahu jadi orang biasa? Kenapa tidak ingin menjadi yang lebih baik? Tidak berbuat dosa tidak bermakna aku sempurna. Tidak minum arak tidak bermakna aku terlepas dari melakukan dosa-dosa kecil. Sembahyang 5 waktu tidak bermakna aku sempurna.Bagaimana dengan dosa-dosa kecil? Aku lalai. Aku lalai! Terima kasih ya Allah kerana menyedarkan aku. Terima kasih atas hidayah-Mu.Aku terus bersujud dan memohon doa.

Ya Allah,

Bimbinglah aku ke arah agamaMu,

Dekatkah hatiku padaMu,

Berilah aku cahaya hidayah dan cahaya makrifatMu,

Berilah aku kasih sayangMu,

Dan jangan sekali-kali Kau lalaikan aku,

Sesungguhnya aku hambaMu yang lemah,

Amin.

Semoga kita sentiasa mendapat hidayah dariNya.
Mari kita jadikan hari ini lebih baik dari semalam , esok lebih baik dari hari ini. Hargailah setiap detik dan manfaatkan masa sebaiknya sebelum malaikat maut datang menjemput.